Shafie akan cari jalan atasi kekurangan bekalan pasir di Keningau

KENINGAU, 28 Sept  – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata beliau akan mencari jalan terbaik bagi mengatasi masalah bekalan pasir di daerah ini.

Mohd Shafie berkata beliau menyedari masalah itu berdasarkan aduan dan rayuan daripada masyarakat setempat dan telah mengarahkan Pegawai Daerah Keningau untuk mengambil langkah susulan mengatasi masalah itu.

“Hari ini saya pun terima rayuan daripada penduduk setempat yang terpaksa mengambil pasir daripada daerah Papar untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dan ini merupakan perkara yang kita akan atasi sedikit masa lagi,” katanya kepada pemberita pada Majlis Program Hari Bersama Ketua Menteri di sini, hari ini.

Isu kekurang bekalan pasir di Keningau tercetus selepas pembekuan operasi kuari di daerah itu sejak beberapa bulan yang lalu, menyaksikan orang ramai khususnya kontraktor serta individu yang membina rumah terpaksa membayar harga berlipat kali ganda untuk mendapatkan bekalan itu dari daerah Tenom atau Papar.

Harga semasa pasir di Keningau ialah RM40 setan, tetapi pengguna membayar RM90 termasuk harga pasir dan upah kenderaan untuk bahan itu jika dibeli di daerah Tenom atau Papar.

Pegawai Daerah Keningau Yusop Osman, yang diarah oleh Ketua Menteri  memaklumkan bahawa satu jawatankuasa peringkat Kementerian Pertanian dan Industri Makanan telah ditubuhkan untuk mengatasi kemelut itu.

Menjawab soalan lain, Mohd Shafie berkata, kerajaan telah membentuk satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) untuk melaksanakan pendokumentasian pekerja asing yang bekerja di ladang-ladang kelapa sawit di negeri ini.

“Sekarang kita berhadapan dengan kekangan pekerja .. semalam dua tiga buah syarikat telah berjumpa dengan saya mengenai masalah ini .. mereka memberitahu pendapatan terjejas .. produktiviti turun, harga (produk) pun turun. Kita beri jaminan untuk selesaikan masalah ini sedikit masa lagi,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *