WARISAN mampu bawa perubahan

Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. – Foto Malai Rosmah Tuah

 

Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, buat kali pertama mendedahkan kepada umum, bagaimana beliau mula menubuhkan WARISAN serta sejauh mana layanan yang diterima ketika beliau dipecat daripada kerajaan terdahulu. Ikuti temubual beliau bersama Soal Rakyat, yang disiarkan di TV3, malam tadi.

SOALAN (S): WARISAN disifatkan sebagai ‘parti bayi’, kerana baharu ditubuhkan tetapi menang lebih 42 kerusi di Sabah. Apa faktor kekuatan WARISAN?

JAWAPAN (J): Persoalannya itu adalah kehendak rakyat yang mahukan perubahan berlaku bukan hanya di peringkat Semenanjung tetapi peringkat negeri Sabah khususnya. Apa yang mereka rasa, mereka bukan hanya melihat tetapi merasakan perlunya ada perubahan. Kedua, ini kehendak Allah SWT. Kita tidak menjayakan agenda ini tanpa kehendak rakyat, dan ditokok tambah dibantu oleh Allah SWT. Saya yakin pada PRU lalu, saluran yang membawa gelombang besar hari ini adalah Tun Dr Mahathir Mohamad. Sebagai seorang pemimpin negara yang banyak berjasa, beliau menggunakan pelbagai cara, kaedah, untuk menegur, memberi pandangan perjalanan pentadbiran negara ini. Beliau telah menegur, fikiran, hala tuju masyarakat negara kita. Di Sabah, ini satu gelombang yang saya sudah jangka. Banyak persoalan yang ditimbulkan media massa dan beberapa kedutaan sebelum ini. Saya sudah menyatakan keyakinan saya sebelum ini, yang perubahan ini akan berlaku. Ini perubahan besar, bukan perubahan kecil. Gelombang ini jelasnya seperti yang kita lihat, kerana waktu saya berkhidmat sebagai menteri yang menjelajah ke pelosok kampung. Kesusahan rakyat di peringkat bawah, kita dapat melihat dan merasai (suasana) sendiri. Inilah yang kita lihat perubahan yang berlaku kerana rakyat sangat mahu berubah. Dan sekarang ini sudah berubah. Rakyat juga mempunyai harapan yang cukup tinggi terhadap perubahan. Bukan sahaja kaedah pemerintahan tetapi cara pendekatan yang kita laksanakan. Saya yakin kalau kita tidak mampu membuat perubahan ini, rakyat akan tolak kita di masa akan datang. Jadi kita perlu membuat perubahan dan menyelaraskan sistem mengikut kehendak rakyat dan sesuaikan dengan kemampuan kita sebagai kerajaan pemerintah. Bukan mudah bagi kita membuat perubahan, mereka mahu semua. Tetapi ada keterbatasan, bukan semua yang kita lontarkan dalam manifesto, walau kelihatan memang itu kehendak kita, tetapi setelah kita mengambil tampuk pemerintahan, banyak kepincangan, banyak masalah yang sedang kita hadapi. Walaupun kita tahu ada banyak masalah, tidaklah seperti masalah yang kita sudah kenal ini. Kita tahu pada saat ini, ia boleh membantutkan usaha mengambil tindakan secepat yang mungkin selaras dengan kehendak rakyat.

S: Setuju atau tidak, faktor kemenangan WARISAN disebabkan personaliti dan aura Datuk Seri?

J: Saya bukanlah tokoh yang membentuk pemikiran. Tetapi saya yakin cara, corak dan bentuk pemerintahan terdahulu, telah membentuk pemikiran, tingkah laku dan tindak tanduk pengundi sehingga mereka melontarkan sokongan mereka kepada parti WARISAN yang baharu. Walaupun saya tahu banyak pilihan, tetapi ini adalah satu parti yang berlandaskan suara rakyat, dan khususnya untuk rakyat dan negeri Sabah, yang mahukan perubahan berlaku. Jadi saya yakin sebahagian besarnya bukan disebabkan saya tetapi kehendak rakyat. Rakyat yang mahukan perubahan. Kita cuma membantu agar dapat menjelaskan apa yang rakyat mahu, supaya perubahan ini menjadi kenyataan. Ini sebenarnya yang berlaku.

S: Apakah faktor yang ditinggalkan kerajaan terdahulu seperti hutang negara menyebabkan usaha merealisasikan janji manifesto sukar dilaksanakan?

J: Itu antara perkara yang jadi masalah yang sedang kita hadapi. Pertama, kekangan kewangan. Keduanya, sistem cara pentadbiran yang kita perlu ubahsuai, bentuk semula untuk membolehkan bukan hanya sistem penyampaian yang dapat kita adakan selari dengan kehendak diperlukan suara-suara rakyat, sebelum ini. Ini antara cabaran kita tetapi saya yakin ini boleh diatasi cuma mengambil sedikit masa. Kita sedar dan tahu, membuat perubahan itu, kita bagi undi mungkin dalam masa satu hari sahaja, dan selepas itu kerajaan boleh berubah? Tetapi selepas mengambil alih pentadbiran, untuk membuat perubahan ia sedikit sebanyak akan mengambil masa. Kedua, kita perlu menukar corak pemikiran. Bukan hanya menukar corak pentadbiran awam tetapi turut membabitkan pihak swasta secara langsung. Kita sebagai pimpinan yang ada, maklumlah tokoh baharu yang kita gantikan ini, mereka tidak mempunyai pengalaman. Sebahagian besar daripada 90 peratus mereka tidak pernah menjawat jawatan sama ada pegawai kerajaan, menteri dan pembantu menteri. Sebahagian besar yang diperlukan mereka adalah mendapatkan pendedahan. Tetapi saya yakin mereka cepat belajar dan melihat perubahan ini. Saya dapati tahap pencapaian beberapa orang yang agak cekap, dan mereka boleh membantu. Tetapi tidaklah semua. Dan kita tidak menjangkakan semua orang akan cekap dalam masa singkat. Saya yakin mereka dapat membantu kita. Apa yang penting adalah bagaimana kita memahaminya ke peringkat akar umbi, supaya perjalanan ini bukan hanya sekelip mata. Dalam hidup ini, jangkanya panjang tetapi jangan terlampau panjang sangat kerana tidak ada orang yang sanggup menunggu terlalu lama. Tetapi kita pastikan satu sistem penyampaian dan keupayaan sistem kewangan yang agak terbatas ketika ini, yang perlu kita lahirkan. Pendekatan yang kita laksanakan, pertama adalah mencari hasil supaya kita dapat meningkatkan hasil negeri, memastikan pelabur datang dan perbelanjaan ketirisan diuruskan dengan baik. Jangan banyak pembaziran. Kita fokus kepada projek yang banyak memberi kesan yang jauh lebih besar kepada rakyat. Kita pastikan supaya ada ruang peluang pekerjaan, harapan anak muda khususnya, untuk mereka mempunyai peluang pekerjaan. Bukan mudah harapan ini direalisasikan dalam jangka masa pendek. Minggu lalu, ada pelabur Tan Chong Motor mahu buat pelaburan di Sabah. Pelaburan ini tidak boleh buat dalam masa sebulan dua. Perlu ambil masa untuk menyediakan tenaga buruh yang ada kecekapan. Tiada guna ada kilang, tetapi tiada orang yang boleh menguruskan kilang itu, yang boleh membantu pemasangan kereta itu, untuk pastikan kereta itu boleh dijual. Kalau kereta berkenaan tidak dapat dijual pada masa akan datang, mereka juga akan menganggur kerana tiada yang mahu membeli kereta itu. Kita perlu pastikan semua perancangan ini dapat disusun atur sebaik mungkin.

Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. – Foto Edmund Samunting

S: Datuk Seri, boleh kongsikan punca digantung dan dipecat keahlian UMNO sebelum ini?

J: Saya yakin sebenarnya perkara ini dibangkitkan semula kerana banyak suara mempersoalkan perjalanan pentadbiran negara khususnya, berhubung kait isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Justeru, kita yakin kita sebagai wakil rakyat, bukannya wakil jabatan, bukan wakil menteri, kita wakil rakyat. Saya selaku Ahli Parlimen dan pemimpin rakyat perlu menyuarakan apa yang berlaku. Kalau sebenarnya ada yang terpesong dan perlu kita tegur, maka kita tegurlah. Niat kita baik, untuk negara kita. Kerana saya yakin tidak mungkin saya boleh menjadi Ahli Parlimen kalau rakyat tidak sokong. Tidak mungkin saya menjadi menteri kalau tidak menjadi Ahli Parlimen. Justeru, kita tidak perlu takut dan bimbang kerana kita menyuarakan suara rakyat. Saya yakin (contohnya) apabila saya dipecat dan selepas pilihan raya, rakyat masih menyokong. Saya yakin sokongan itu oleh kehendak. Mereka yakin bahawa mereka berlandaskan memberi sokongan kepada wakil rakyat yang mereka boleh bergantung. Walaupun agak susah dan rintangannya agak pahit, selepas 30 tahun berkhidmat untuk negara dan kita perlu berhadapan cabaran, bukan kerja mudah. Niat kita berlandaskan keikhlasan, bahawa negara ini perlu diselamatkan dan mempunyai ‘zuriat’ yang boleh mewarisi negara ini. Jadi kita jangan bimbang. Saya tahu tidak mudah bagi keluarga saya, khususnya isteri dan anak-anak saya berhadapan cabaran apabila saya dipecat dan digantung. Selepas itu saya keluar UMNO kerana saya sudah sedar dan tahu bahawa landasan ini bukan lagi yang sepatutnya kita perjuangkan. Negara ini dan agama Islam jauh lebih besar daripada UMNO, untuk bangsa Melayu dan umat Islam. Bukan UMNO yang mendahului agama, bangsa dan negara. Apabila saya teliti secara mendalam, Islam dan Malaysia jauh lebih penting daripada UMNO. Saya tidak meninggalkan UMNO demi agama saya. Demi untuk negara saya. Penting bagi kita untuk membuat ketetapan walaupun pahit. Saya tahu akibatnya, apabila kita melontarkan persoalan ini bukan hanya di Parlimen, malah kita tertib di peringkat Kabinet. Tidak ramai yang tahu macam mana kita bangkitkan, walaupun kadang-kadang ada yang dalam satu jamuan sebelum mesyuarat Kabinet orang tidak mahu duduk dengan saya selepas saya bangkitkan isu ini. Mungkin bimbang sangat agaknya kelihatan Datuk Seri Najib Razak duduk semeja dalam Kabinet. Tetapi itu biasa dalam landasan politik. Jadi jangan bimbang dan takut.

S: Bagaimana Datuk Seri menghadapi saat genting dan menakutkan ketika itu?

J: Kita berpegang pada niat dan nawaitu, serta berdoa kepada Allah SWT. Segala yang kita lalui ini tidak mungkin berlaku tanpa bantuan Allah SWT. Ketika itu, saya menunaikan umrah dan berada di Masjid Nabawi. Saya mendirikan solat hajat dan selepas itu, terima mesej saya dipecat, dibuang daripada UMNO. Jadi, itu antara petunjuk Tuhan. Melalui itu, saya tahu kesan-kesannya. Mungkin saya akan ditangkap, diambil tindakan, apa jua bentuknya, saya sudah maklumkan pada keluarga saya. Apa sahaja yang berlaku, sama ada ini akan mengubah hidup saya, saya akan lakukan. Ini satu perjuangan, walaupun berat perlu dilalui. Ramai yang tidak tahu saya ditahan lapan hari dan terpaksa tidur di atas lantai, tiada bantal, tiada tilam, pakai baju oren (baju lokap), tiada selimut, lampu 24 jam (dipasang). Selepas itu, empat hari sambung. Tetapi saya tahu kita berpegang dengan niat baik. Bukan semua yang kita lakukan ada kesalahan, kesilapan tetapi kita berpaut dengan niat yang baik. Saya dituduh pelbagai lontaran, duit berbilion, beratus juta. Mereka datang ke rumah saya dan berkata, tidak nampak pun satu bilion. Mereka tidak jumpa apapun, dalam bank saya.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal masuk di Bangunan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), pada hari pertama bertugas, di Kota Kinabalu pada 14 Mei lalu. – Foto Edmund Samunting

S: Apa membuatkan Datuk Seri mengambil keputusan menubuhkan WARISAN sedangkan ada pilihan lain, seperti bergabung dengan parti politik sedia ada, yang sudah kukuh?

J: Dr Mahathir di peringkat awal perbincangan, beliau mahu saya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kerana kita menubuhkannya bersama. Saya terbabit dalam penggubalan undang-undang parti. Sebahagian besar faktor saya membuat keputusan adalah kerana Sabah, satu negeri yang jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri lain. Di Kota Kinabalu nampak cantik (membangun), tetapi kalau kita masuk ke kawasan kampung, ada yang masih belum memiliki bekalan air. Sudah 60 tahun kita merdeka, tetapi ada sekolah yang masih berdepan masalah kekurangan guru, ada hospital tidak lengkap dan tiada doktor pakar mencukupi. Saya nyatakan kepada Dr Mahathir, saya perlu pulang berkhidmat di Sabah, untuk memberi sumbangan secara lebih berkesan. Saya kena pimpin masyarakat saya di Sabah untuk membuat perubahan besar. Saya yakin kita mampu membuat perubahan besar dengan mewujudkan satu parti yang baharu, kerana kita tahu parti yang sedia ada sudah berlumuran dengan pelbagai isu. Kita buat satu pembaharuan dengan landasan parti yang baharu untuk memastikan rakyat bersama-sama kita. Dalam jangka masa pendek, kerana banyak perkara, antara lain sudut perjuangan mengekalkan hasil negara dan Sabah, mempertahankan WARISAN, maka kita wujudkan parti WARISAN.

S: Temubual ekslusif dengan Tun Daim, baru-baru ini, mendedahkan satu strategi Pakatan Harapan adalah meletakkan kepercayaan kepada Datuk Seri memenangi Sabah.

J: Kita ada buat perbincangan dengan Dr Mahathir, Tun Daim, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan rakan-rakan lain, saya maklumkan BERSATU tidak perlu masuk ke Sabah. Biar WARISAN yang bentuk kerajaan. PKR tidak ada di sini lagi. DAP sudah lama ada, lebih lama dari WARISAN. Jadi, WARISAN sebagai parti baharu tidak elok kita padamkan kehadiran mereka yang sudah lama berada pada peringkat negeri Sabah. Kita perlu perkongsian daripada DAP. Sebab itu, kita maklumkan untuk buat satu kerjasama dengan Pakatan Harapan. Tetapi saya tidak masuk Pakatan Harapan, sampai sekarang pun, kerana saya mahu suarakan hak Sabah dan rakyat Sabah dipertahankan. Itu satu kaedah yang menjadi dorongan dan sambutan kepada rakyat Sabah. Mereka mahu satu landasan supaya suara ini kedengaran tanpa ada tekanan daripada mana-mana pihak untuk mempertahankan warisan mereka. Justeru itu, parti WARISAN yang menjadi sambutan rakyat Sabah.

S: Datuk Seri, dua kali menjadi Timbalan Menteri ketika pentadbiran Dr Mahathir, sebelum dilantik Menteri ketika pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi. Bila mula mengenali dan sejauh mana keakraban hubungan Datuk Seri dengan Dr Mahathir?

J: Sudah lama (terjalin). Sebenarnya, hubungan ini berlaku sejak saya jadi setiausaha politik beliau. Saya angkat sumpah Timbalan Menteri, di hadapan beliau. Selepas itu, saya menjadi setiausaha Parlimen, dan Timbalan Menteri. Ketika saya menjadi Ahli Parlimen, saya selalu berjumpa dengan Dr Mahathir, setahun sekali tanpa temujanji. Saya maklumkan kepada Dr Mahathir, sekejap sahaja berjumpa di pejabat beliau, dalam 10 hingga 15 minit sahaja. Tetapi, kadang-kadang duduk dengan beliau bukan sekejap, setengah jam dan hingga 45 minit, berbincang pelbagai perkara. Sebagai orang muda dalam politik, waktu itu kita perlu tahu bagaimana pekerjaan, dan apa yang saya lakukan (prestasi). Saya tanya beliau, adakah beliau gembira dengan apa yang saya sudah laksanakan? Saya perlukan nasihat daripada anda. Beliau menyatakan, saya gembira dengan cara kamu bekerja, Shafie. Tidak ramai orang dari Sabah, yang selalu melawat ke seluruh negeri. Saya pergi ke Johor, saya pergi ke Kelantan, Terengganu, Sarawak. Banyak tempat yang beliau mahu saya lawati, dan banyak perkara dibincangkan. Pertemuan kami semakin kerap ketika pentadbiran Abdullah. Saya kerap berjumpa beliau juga. Ketika Najib menjadi Perdana Menteri, saya jumpa beliau (Dr Mahathir) di pejabatnya, di Masjid Negara, atau di Yayasan Bukhari, atau di rumah di Mines, Serdang. Kami akan bersarapan atau makan malam. Kami banyak bertukar pandangan dan ada perkara dibincangkan bersama. Ada perkara yang Dr Mahathir lontarkan, dan saya tegur, “Tun, ini bukan cara untuk melaksanakannya atau ini bukan cara yang tepat untuk melaksanakannya”. Dan beliau akan terima kata-kata saya. Beliau seorang tokoh, yang kalau kita bincang dengan rasional dan bagi fakta kenapa sesuatu pandangan itu perlu dilakukan, beliau sebagai bekas seorang pemimpin, yang akan menerima kalau ada justifikasi daripada segi kebenaran, bagaimana dasar itu perlukan perubahan. Agak lama, saya mengenali Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. Mereka turut mengenali bapa mentua saya sejak mereka muda.

Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. – Foto Malai Rosmah Tuah

S: Datuk Seri, WARISAN menang lapan kerusi parlimen tetapi hanya diberi lima jawatan tertinggi dalam kerajaan.

J: Kalau dilihat daripada pelbagai pertimbangan, mungkin ada yang tidak berpuas hati. Tetapi, kalau diukur daripada aspek sumbangan, kemenangan lapan kerusi WARISAN di Sabah, menyebabkan Barisan Nasional (BN) menjadi ‘fixed deposit’. Gelombang itu datang dari Sabah, dan tiada sesiapa yang boleh menafikannya. Untuk kita membangkitkan sumbangan, walaupun pada peringkat awal, kita memerlukan pertolongan politik daripada negeri lain. Saya yakin gelombang besar telah kita lakukan dari Sabah. Menyedari hakikat bahawa kita membentuk satu negara, dengan penyertaan Sarawak dan penyertaan Sabah, hanya satu jawatan diperuntukkan sebagai Jemaah Menteri, maka keputusan itu agak jauh ketinggalan. Dalam kita membentuk sebuah negara, bukan hanya Semenanjung, tetapi Sabah dan Sarawak, secara kebetulannya, WARISAN adalah parti yang mesra kepada Pakatan Harapan berbanding parti lain. Di Sarawak, saya yakin (kemesraan) adalah satu pertimbangan. Ia bukan kerana kita memperoleh jumlah kerusi yang sedikit, kita diberikan bilangan kerusi yang sedikit dalam Kabinet. Keputusan itu sebenarnya jauh lebih besar, kerana untuk membina sebuah negara yang dipisahkan Laut China Selatan, dipisahkan oleh kaum dan norma, adalah perkara yang perlu diteliti dalam pembentukan negara.

S: Apa pandangan Datuk Seri berhubung isu panas, ‘rakyat tiada kad pengenalan’, yang hangat diperdebatkan ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14)?

J: Ini isu yang lama bukan isu yang baharu dibangkitkan sekali sahaja ketika PRU lalu. Sudah bertahun-tahun. Saya, sebelum ini, dilabelkan pendatang tanpa izin, tetapi saya menyatakan, “takkan seorang PATI boleh menjadi Timbalan Menteri Pertahanan?”. Perkara ini tiada hubungan kait dengan WARISAN. Walaupun saya sendiri, sebelum ini, sebagai bekas Menteri dan sekarang, sebagai Ketua Menteri, saya sedar bidang kuasa ini tertakluk kepada Jabatan Pendaftaran Negara, untuk mengeluarkan kad pengenalan. Tetapi, kita tahu ini adalah satu bahan yang menjadi alat yang digunakan parti lawan untuk meraih sokongan dan perhatian rakyat. Kebenarannya, kita tiada langsung bidang kuasa dalam perkara ini. Apa yang penting bagi saya, ketika mentadbir Sabah, apa yang rakyat mahu seperti keperluan asas, peluang pekerjaan. Saya berpandangan lebih baik fokus kepada usaha mentadbir negeri supaya kita dapat memakmurkan rakyat.

Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. – Foto Azhar Ramli

S: Manifesto Pakatan Harapan berjanji memberikan 20 peratus royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak. Sejauh mana perbincangan dengan kerajaan Persekutuan berhubung isu ini?

J: Kami masih berbincang dengan Kerajaan Persekutuan. Saya sudah berjumpa Presiden PETRONAS, bulan lalu dan saya mengutarakan pendirian, bukan sahaja sebagai kerajaan negeri yang baharu tetapi mewakili suara rakyat Sabah. Sudah lama mereka suarakan, sejak 1970-an. Apa yang kita suarakan, adalah menyedari hakikat, seperti apa yang disuarakan Dr Mahathir, sebelum ini. Beliau nyatakan, “Jangan membunuh PETRONAS”, yang menjadi landasan syarikat cari gali minyak yang terbesar, bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia, termasuk di Kanada, Syria dan Iraq. PETRONAS sudah berkembang maju. Tetapi, suara rakyat di peringkat bawah yang perlu saya suarakan dan realisasikan. Tuntutan itu termasuk manifesto 20 peratus. Apa yang saya nyatakan kepada Presiden PETRONAS mengenai pengagihannya. Saya suarakan mengenai agihan royalti minyak di Sabah, kerana ia negeri kedua terbesar. Ditokok tambah, apa disuarakan Dr Mahathir sebelum ini, adalah sebahagian daripada Wilayah. Perjanjian antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung, yang ketika itu turut membabitkan Singapura. Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak membabitkan negeri di Terengganu dan Kelantan. Tetapi kita maklum, ada negeri yang agak miskin memerlukan bantuan. Tidak menjadi masalah kepada rakyat Sabah untuk berkongsi kekayaan ini. Kita tahu PETRONAS sudah membelanjakan berbilion ringgit, tetapi sebagaimana yang kita tahu, hasilnya datang daripada Sabah. Dengan agihan 20 peratus, tiga hingga empat juta rakyat Sabah, akan gembira. Hasilnya juga, akan kita agihkan kepada semua rakyat, termasuk untuk pembangunan jalan dan bantuan sekolah di seluruh negeri Sabah. Jadi, kita mahu kerajaan meneliti perkara ini.

S: Datuk Seri, ada cadangan untuk meningkatkan tahap keselamatan di perairan Sabah?

J: Saya selaku Pengerusi Bahagian Keselamatan sudah melihat perkara ini, sebagai perkara terpenting. Tidak ada gunanya, kita bangunkan kemudahan asas kalau keselamatan rakyat tidak terjamin. Kawasan Pantai Timur sering dilanda bencana. Saya berpandangan tidak masuk akal, kita keluarkan kad pengenalan, kita digelar PATI, tetapi kawasan saya yang diserang lanun selalu. Takkan saya mahu bantu orang dapat kad pengenalan untuk ‘melanun’ saya. Bagaimanapun, perkara ini sesuatu yang besar kerana membabitkan sempadan negara kita. Jadi, salah satu penekanan yang saya lakukan, pertama, dari segi meningkatkan operasi pemantauan. Pasukan keselamatan perlu ditempatkan di kawasan ancaman contohnya, lokasi bala tentera. Sudah sampai masanya, kita teliti semula penempatan kem tentera, di Kawi, kem Paradise, Kota Belud. Kawasan ini tidak dilanda lanun, tiada ancaman. Lebih elok kalau mereka ditempatkan di kawasan yang memerlukan tenaga mereka sebagai pasukan strategi pencegahan. Apabila kelihatan pasukan itu besar di sini, mungkin orang luar tidak akan berani menceroboh negara. Penting untuk meningkatkan tahap keselamatan supaya tidak mudah dibolosi. Kawasan lingkungan sempadan dan perairan Sabah agak luas, kita perlu buat perubahan dan tingkatkan kepintaran keselamatan, untuk mengesan ‘lanun’. Ini antara yang kita rundingkan dengan Kerajaan Persekutuan. Sebab itu, saya tekankan pengambilan anak tempatan bukan sahaja sebagai polis dan tentera, adalah lebih baik, kerana mereka sanggup berkorban dan lebih mengetahui apa yang mereka perlu pertahankan.

S: Adakah peluang pekerjaan kepada anak muda, antara pelan jangka panjang meningkatkan taraf sosio-ekonomi Sabah?

J:Ini perkara yang kita lahirkan, kerana tekanan rakyat ialah mendapat peluang pekerjaan. Di samping, mereka mendapat peluang untuk menjadi anggota pasukan keselamatan, tentera dan polis, anak muda Sabah dapat mempertahankan negara mereka. Di sektor pengangkutan, kita lahirkan supaya ada pusat pemasangan kereta. Penghujung tahun ini, Tan Chong Motor akan mewujudkan pusat pemasangan kereta ‘four wheel’ (4WD) di Sabah. Ia susulan Sabah dan Sarawak, antara negeri yang paling banyak ‘Ninja Turtle’, jenama Toyota. Lebih elok pusat pemasangan kereta dibina di Sabah dan Sarawak, kerana lebih dekat dengan pasaran. Lebih penting adalah mendidik pembangunan sumber manusia untuk generasi muda. Untuk itu, kita mewujudkan sekolah kemahiran dan Pusat Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) untuk meningkatkan kemahiran dan kecekapan anak muda dalam industri.

S: Datuk Seri Azmin Ali, antara pemimpin yang menyokong tindakan Datuk Seri, untuk memastikan tidak berlaku rasuah atau ketirisan seperti yang berlaku pada kerajaan sebelum ini.

J: Pertama, membanteras perkara ini perlu dilakukan di peringkat atas dahulu, Jemaah Menteri saya yang baharu. Saya sudah ingatkan jangan buat perubahan. Kalau ada buat ‘rumah baharu’, saya akan tukar. Di samping itu, kita kena tekankan bahawa sibuk bekerja untuk rakyat. Jangan sibuk buat rasuah, dan sibuk buat duit. Kalau itu berlaku, itu akan boleh menjejaskan bukan hanya dari segi kewangan yang terbatas, tetapi kualiti perkhidmatan kita di peringkat akar umbi. Penting bagi kita untuk menguruskan ketirisan bukan hanya disebabkan kos yang meningkat, sistem yang tidak tersusun, rasuah juga satu perkara yang perlu diuruskan dengan baik. Saya percaya dalam pilihan raya lalu, rakyat memberi sokongan kepada kita. Bukan semata-mata mereka mahu pemimpin itu, atau pemimpin ini, tetapi kerana rakyat mahukan perubahan. Perubahan itu adalah supaya salah guna, penyelewengan , kuasa yang ada dan kes rasuah, boleh ditangani dengan baik. Perkara ini bukan sahaja perlu diatasi di peringkat atasan, tetapi penguatkuasaan undang-undang. Kalau tiada penguatkuasaan, ketirisan ini tidak boleh dibanteras. Sebagai contoh, Jabatan Air Sabah, yang sebelum ini satu jabatan yang dikenali di seluruh Malaysia. Tetapi dijumpai duit di pejabat atau rumah. Tetapi setakat ini, tidak diambil tindakan. Ambillah tindakan, kerana rakyat inginkan perubahan ini menjadi contoh, menjadi ikutan. Kalau kita tidak tegas menguatkuasakan undang-undang, maka sewenang-wenangnya akan ada orang terbabit dengan kegiatan itu. Tetapi kalau mereka menyedari akan ada tindakan undang-undang diambil kepada mana-mana pihak terbabit melakukan rasuah, mereka akan lebih teliti dan berhati-hati. Kalau tidak, mereka akan kena tangkap.

S: Adakah Kerajaan Negeri perlu diberi tempoh masa untuk merealisasikan usaha memperhebatkan taraf sosial dan pembangunan di negeri ini?

J: Saya sedar harapan rakyat kepada kerajaan baharu cukup tinggi untuk membuat perubahan yang baharu. Saya bagi pihak kerajaan baharu mengucapkan terima kasih di atas sokongan rakyat Sabah selama ini sehingga membolehkan kami menjadi pemerintah di negeri ini. Saya tahu bahawa banyak masalah dihadapi, tetapi itu bukan halangan untuk kami menyatakan keinginan dan kesungguhan untuk melakukannya supaya perubahan ini akan berlaku. Usaha ini akan menjadi kenyataan, tetapi sedikit sebanyak ia akan mengambil masa. Tidak pernah berlaku di peringkat negeri Sabah membatalkan eksport kayu balak ke luar negara. Ini satu sejarah, pada peringkat pertama, kita mengharamkannya. Kita mengharapkan industri sokongan membuat perabot, membuat kilang IKEA, di peringkat negeri Sabah. Bulan depan, IKEA akan datang dan saya akan bincang. Kayu-kayan ini, kalau dieksport, banyak penyelewengan. Itu yang berlaku, duit di merata tempat, di merata dunia, akaun sana, akaun sini. Kenapa kita eksport hasil bumi? Adalah lebih dibina industri sokongan supaya lebih banyak peluang dibina untuk rakyat Sabah dalam bidang perkayuan. Di Johor, misalnya, sebuah kilang perkayuan dibina dan hasilnya dieksport ke luar negara dan mampu menjana sehingga RM20 bilion setahun. Takkan Sabah yang mempunyai banyak kayu balak tidak boleh merealisasikan cadangan ini. Tetapi, ia akan mengambil sedikit masa.

Sumber : Berita Harian Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *