Kereta Peronda Polis Berlanggar Dengan Dua Kenderaan, Suami Ister Cedera

Keadaan dilokasi membabitkan kemalangan tiga kenderaan di Jalan Kepayan, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ehsan IPD Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Sepasang suami isteri mengalami kecederaan selepas kenderaan yang dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah kereta peronda polis dan sebuah kenderaan lain di Jalan Kepayan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superitendan George Abdul Rakhman berkata kedua-dua mangsa masing-masing berumur 33 dan 39 tahun sedang menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth dan kini dalam keadaan stabil.

Kemalangan tiga kenderaan di Jalan Kepayan, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ehsan IPD Kota Kinabalu

“Hasil siasatan polis di lokasi mendapati kereta peronda polis ketika itu sedang dalam perjalanan menuju ke Jalan Lintas dari arah pusat bandar kira-kira jam 7.15 pagi.

“Setibanya di persimpangan lampu isyarat LTAKK, sebuah kenderaan kompak berhenti secara tiba-tiba dan menyebabkan anggota polis terpaksa menghalakan kenderaan ke arah kiri bagi mengelak dari melanggar kereta dihadapan.

“Tindakan anggota ketika itu menyebabkan kereta peronda polis SM130 itu berpusing sebelum terbabas ke jalan bertentangan sebelum melanggar dua kenderaan lain jenis kompak yang dinaiki pasangan suami isteri dan sebuah lagi kereta sedan lain,’ katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya impak perlanggaran itu menyebabkan mangsa wanita mengalami kecederaan di bahagian leher manakala suaminya yang juga seorang anggota polis cedera di bahagian muka.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutaan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu.

Sumber : SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *