Tanam belakang rumah

ALAN Hogg dan isterinya, Nod Suddaen ketika perkahwinan mereka. Viral Press

 

Bangkok: Misteri kehilangan seorang jutawan warga Britain dan isterinya sejak Khamis lalu akhirnya terjawab, semalam selepas polis menemui mayat pasangan berkenaan yang ditanam di kediaman mewah mereka di utara Thailand.

Mayat Alan Hogg, 64, dan isterinya, wanita tempatan, Nod Suddaen, ditemui selepas polis menahan tiga lelaki yang mengaku membunuh pasangan itu selepas diupah adik lelaki wanita berkenaan.

Bangkok Post melaporkan, pasangan itu disedari hilang dari rumah mereka di daerah Muang di wilayah Pharae pada Khamis lalu selepas rakannya gagal menghubungi mangsa.

Polis yang melakukan siasatan menemui kesan darah di singki dan bilik persalinan di kolam renang yang kelihatan seperti dilap.

Pada pagi semalam polis mengesahkan penahanan tiga lelaki yang mengaku membunuh pasangan itu sebelum menanam mayat mangsa di kawasan rumah berkenaan.

Jurucakap polis, Sanpat Prabpudsa memberitahu, tiga lelaki itu mengaku menembak Hogg di depan reban itik sebelum menggunakan tukul untuk memukul isterinya hingga mati di dalam garaj.

Suspek memberitahu, adik ipar Hogg, Warut Satchakit membayar mereka 50,000 baht (RM6,374) untuk membunuh pasangan berkenaan.

“Warut mempunyai masalah kewangan dan masalah peribadi dengan mangsa,” katanya.

MAYAT pasangan berkenaan ditanam di kawasan rumah mewah milik mereka. – Viral Press

Polis menahan Warut pada Isnin selepas rakaman kamera keselamatan menunjukkan dia masuk ke kediaman itu dan melarikan kenderaan pacuan empat roda milik mangsa.

Bagaimanapun, dia dibebaskan dengan ikat jamin kerana tiada bukti kukuh mengaitkannya dengan kehilangan pasangan berkenaan dan sejak itu dia melarikan diri.

Hogg seorang pesara jurutera dan ahli perniagaan, berpindah ke Thailand beberapa tahun lalu serta membina rumah mewah yang lengkap dengan kolam renang, rumah tetamu dan ladang ternakan.

Anak perempuan pasangan itu, Robyn yang tinggal di Britain bergegas datang ke Thailand selepas ibu bapanya dilaporkan hilang. – agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *