Acara berbasikal bersempena ulang tahun YDP Sabah

KOTA KINABALU, 26 Sept – Sambutan ulang tahun Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin pada tahun ini akan menyaksikan kelainan menerusi acara berbasikal yang julung kali diadakan.

Timbalan Ketua Menteri yang juga pengerusi jawatankuasa induk sambutan Datuk Jaujan Sambakong berkata acara akan diadakan pada 7 Okt ini di Taman Awam Teluk Likas  bermula 7 pagi dengan kayuhan sehingga ke Pusat Pentadbiran Negeri Sabah.

Acara berbasikal sejauh tiga kilometer ini adalah idea isteri beliau sendiri Toh Puan Norlidah R.M Jasni, kata Jaujan pada sidang media bersempena sambutan itu, di sini hari ini.

Katanya acara itu akan memberi peluang kepada rakyat bertemu dengan pemimpin secara lebih dekat.

Beliau berkata sebanyak 10 acara akan diadakan bersempena sambutan ulang tahun rasmi ke-65 Yang Dipertua Negeri Sabah itu, bermula 5 Okt ini.

Katanya istiadat perbarisan pula akan diadakan pada 6 Okt di Padang Merdeka, melibatkan 70 kontinjen daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta di Sabah.

“Acara lain termasuk majlis bacaan doa selamat, pengurniaan darjah kebesaran di Istana Negeri, Pameran Khas Dirgahayu TYT di Muzium, majlis jamuan negeri dan jamuan teh bersama kanak-kanak istimewa dan anak yatim.

“Turut diadakan kejohanan golf amal, Malam Sanjungan Kasih dan pameran serta penyampaian karya pilihan tahunan negeri,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *